11 Januari 2011

Kerana Mata Yang Menangis Takutkan Allah

Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya.”

Dalam sebuah kitab Daqa’iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuknya dimasukkan ke dalam neraka.

Maka salah satu daripada rambut-rambut matanya ( bulu mata ) berkata, “Wahai Tuhanku, Rasul Mu, Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu.”


Akhirnya, Allah S.W.T telah mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T.. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, “Telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut.”

Dalam sebuah kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat menggerunkan. Ketika itu semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan hati untuk menghadapinya.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,

“Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan.” (Surah al Jatsiyah ayat 28)

Sebaik saja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya. Dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, “Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah),” kecuali hanya seorang Nabi saja yang akan berkata, “Umatku, umatku.”

Baginda ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung. Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata,

“Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang
yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali.”

[ Allah.. Betapa Rasulullah sangat mencintai umatnya. Apakah rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad lebih tebal dari helaian rambut~? ]

Walaupun diseru dengan sedemikian perkataan demi perkataan, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, “Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W”

Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S.“Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah kepadanya.” Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun bertanya kepada Jibril A.S. “Wahai Jibril, apakah air itu?” Maka Jibril berkata,“Itulah air mata orang derhaka dikalangan umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu.”

Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.

Telah bersabda Rasulullah S.A.W, “Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemuinya air mata.”

Wallahu’alam

Moga kita termasuk dalam kalangan orang yang matanya sentiasa menangis takutkan ALLAH.

Semoga ALLAh merahmati.

0 comments:

Catat Ulasan